Tuesday, August 25, 2009

Tinggal kenangan...

Dalam bulan puasa banyak majlis berbuka puasa diadakan. Sempena majlis ini biasanya diadakan sekali Tahlil untuk mereka yang telah pergi . Ketika ini saya teringat pada ibu tersayang yang telah lama pergi, pergi yang tidak akan kembali lagi. Dalam usia 63 tahun ibu telah pergi menyahut panggilan ilahi. Ibu.. semoga roh mu ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Lama ibu terlantar sakit sebelum dia pergi. Ibu
meninggal kerana penyakit kanser darah dan sawan. Dia meninggal dalam keadaan koma selama berbulan-bulan. Ketika ibu terlantar sakit kami adik beradik seramai 6 orang bergilir-gilir menjaga ibu. Saya terpaksa membuat jadual tugas-masing-masing. Setiap orang kena memberikan sumbangan kewangan dan masa menjaga. Wang tersebut digunakan untuk membayar upah pembantu menjaga ibu diwaktu siang (hari isnin – jumaat saja), membeli lampin pakai buang, susu khas (yang dimasukkan melalui tiub sebagai makanan) dan lain-lain barang keperluan. Saya terpaksa membuat jadual bertugas kerana kami masing-masing bekerja dan tinggal di Kuala Lumpur dan kemaman. Mujurlah juga ada adik yang tinggal berdekatan. Dialah yang kami harapkan membeli barang keperluan ibu.

Jadual kerja saya ialah hujung minggu. Dulu hari sabtu berkerja. Habis je waktu kerja saya akan memandu seorang diri ke kampong untuk menjaga ibu sehingga hari ahad petang. Petang ahad saya akan memandu semula balik ke KL. Tinggallah suami saya sorang menjaga anak-anak seramai 6 orang. Terima kasih suami kerana banyak membantu dan mengizinkan saya menjaga ibu. Ketika itu saya tiada pembantu rumah. Anak-anak masih kecil. Nasib baik anak sulong saya perempuan dialah yang banyak membantu menjaga adik-adiknya. Begitulah rutin hujung minggu saya sehingga ibu pergi. Kadang-kadang kami balik sekeluarga. Tapi tak selalu kerana anak masih.



Menjaga orang sakit banyak dugaannya. Bayangkan setelah penat memandu kena berjaga malam pula menjaga ibu. Sedang enak tidur ibu akan menjerit minta itu dan ini. Kadang-kadang dia minta picitkan kerana mungkin lenguh akibat terlalu lama berbaring. Masa ini ibu masih boleh bercakap walaupun kami tak faham apa yang dicakapkannya cuma faham bahasa isyarat saja. Sebahagian badan nya telah lumpuh tak boleh bangun. Bila kita tak faham dia akan marah-marah. Pernah ibu minta pen dan kertas untuk menulis. Bila kami bagi pen dan kertas hanya conteng-conteng saja yang keluar. Bila ibu tak boleh menulis dia kan menanggis. Begitulah.. kena banyak bersabar.

Ayah pula akan marah-marah jika mendengar ibu menjerit dan kemahuan ibu tidak dituruti. Sebab kami tak faham apa yang dia hendak. Akhirnya setelah berbulan-bulan terlantar ibu telah kena sawan lagi. Kali ini ibu terus koma. Hampir berbulan-bulan juga ibu koma sebelum dia pergi. Masa ibu koma ni kami semua sudah seperti nurse. Tiap hari lapkan badan dia, tukar cadar, tukar lampin, cuci nanjis dia, masukkan susu kedalam badan melalui tiub dan sedut lendir dalam mulut dia. Sekali sekali tukar posisi baring dia. Setengah jam mengiring kekiri dan setengah jam kemudian kami tukar posisi ke kanan pula. Ini dilakukan supaya ibu tidak kena backsore. Kerja ni dilakukan oleh kami mengikut jadual waktu masing-masing. Mula-mula tu geli juga nak cuci najis ibu tapi lama-kelamaan dah biasa. Bila mengenangkan ini ada rasa tergelak sendiri. Bila masa bertukar shif teringat adik bertanya. “Kak Ra, emak dak berak ke belum hari in?” Saya lantas menjawab “dia nak berak masa awak jaga dia”, kata saya seloroh. Adik saya ni sangat penggeli orang nya.

Satu peristiwa saya tak lupa bila ayah memarahi kami. Dia kata kami tak menukar posisi ibu, maksudnya kami biar je posisi ibu ketika ayah tinggal kan tadi. Katalah ketika ayah pergi ke kedai posisi ibu kekiri. Dan ketika ayah pulang kebetulan posisi ibu masih kekiri. Tapi sebenarnya kami dah tukar banyak kali posisi ibu ketika dia tiada tapi bila ayah pulang kebetulan posisinya kami baru tukar ke kiri. Apa lagi bisinglah ayah. Kadang-kadang kecil hati juga. Kita jaga ibu, ayah kata kita tak jaga ibu. Ayah kata kalau malas nak jaga tak payah balik. Betapa bisanya kata-kata ayah tersebut. Kadang-kadang tak tahan mengalir juga air mata. Tapi sabar ajelah.

Pernah berlaku satu pagi ketika ayah pulang dari kedai selepas minum teh (ayah suka sarapan dikedai), ketika masuk kebilik melihat ibu ada berbau busuk. Terus dia bising mengatakan kami tak cuci berak ibu. Membiarkan saja ibu katanya. Terus dia cuci ibu sambil membebel mengatakan kami pemalas. Sebenarnya kami tahu ibu baru je sedang buang air besar jadi kami tunggu dulu sehingga ibu selesai baru kami nak cuci. Kebetulan ayah pulang dia terus memarahi kami. Macam-macam ayah kata. Adik bongsu saya yang memang sangat sensitif menanggis dan terus mengemas pakaiannya dan pulang ke Kuantan. Lama adik saya merajuk sehingga tak tengok ibu lagi. Puas saya memujuk. “Jangan ambil hati sangat kata-kata ayah, nanti bila ibu dah tak ada menyesal tak sempat tengok dia”. Tapi hatinya keras. Akhirnya setelah hatinya lembut dia pulang juga sebelum ibu pergi. Kini tinggallah ayah keseorangan.



Ibu pengorbanan mu tak dapat aku lupakan. Enam anak saya semua ibu yang jaga ketika pantang. Pernah ibu berkata jadilah beranak nanti bila ibu tak ada siapa nak jaga. Kini anak-anak saya dah besar. Berbisik hati kecil saya. Tak rugi anak ramai nanti bila sakit ada anak nak jaga..




Setiap pagi raya kami tak lupa menziarahi kubur ibu dan sedekah bacaan yassin. Ibu .. semoga roh mu ditempatkan bersama golongan orang-orang soleh... amin.